Archive

Tanggungjawab seorang pereka logo, adalah meraih kesan akhir yang efektif melalui hasil kerjanya. Sesebuah logo perlu mewakili objektif sesebuah perniagaan itu.

Dengan hanya mengesan atau mengenengahkan SATU faktor kritikal saja, sudah memadai untuk logo anda mencapai status berjaya. Dan untuk mendapatkan faktor kritikal itu, ia tidaklah sesukar yang disangka.

Anda cuma perlu menyediakan Ikhtisar Reka Bentuk (IRB). Err.. apa benda tu? Usah bimbang, saya akan kongsikan dengan menggunakan bahasa yang mudah.
Apa itu IRB?

Ikhtisar bermaksud ringkasan, atau sinopsis jika disebut dalam bahasa perfileman. Dalam bahasa Inggeris, Ikhtisar Reka Bentuk disebut sebagai design brief. IRB sangat penting dalam penciptaan logo. Di dalamnya terkandung segala maklumat penting yang sangat membantu pereka logo untuk menepati citarasa pelanggannya, dan kehendak pasaran.

IRB membolehkan anda (sebagai pelanggan) untuk fokus pada sesuatu yang mahu dicapai sebelum memulakan apa saja projek. Secara teorinya, semakin terperinci IRB ini ditulis, semakin tinggi kualiti dan kadar efektif design yang dapat pereka logo hasilkan.

Satu lagi teori logo ada menyebut, kejayaan 90% sesebuah logo terletak pada IRB yang baik. Lagi 10% adalah komunikasi antara anda dengan pereka logo.

Macam Mana Nak Sediakan IRB?

Caranya sangatlah mudah. Anda cuma perlu menjawab beberapa persoalan atau kaji selidik seperti yang saya nyatakan di bawah. Walaupun anda digalakkan menulis dengan lebih padat, tak semestinya perlu tulis sebaris dua saja. Nak tulis sebuah esei pun tak mengapa.

1. Apakah perniagaan yang anda buat?

Tip: Jangan sekali menganggap seorang pereka logo itu sudah sedia maklum akan perusahaan anda. Nyatakan dengan jelas dan elakkan istilah pelik.

  • Apa yang syarikat anda usahakan?
  • Ceritakan sejarah syarikat anda.

2. Apakah cita-cita anda dalam bisnes ini? Nyatakan kenapa.

Tip: Jika ada material promosi yang pernah digunakan, tidak salah jika ditunjukkan pada pereka logo anda. Ia dapat membantu banyak.

  • Apa yang ingin anda capai secara keseluruhannya, setelah siap logo yang dinginkan?
  • Apa yang ingin anda sampaikan melalui logo, dan kenapa?
  • Apakah kekuatan dan kelemahan produk/servis anda?
  • Bagaimana anda melihat perbezaan syarikat anda dengan pesaing yang sedia ada?

3. Siapa kumpulan sasaran anda (target market)?

Tip: Jika lebih dari satu golongan, sila susunkan mengikut keutamaan.

  • Siapakah golongan pelanggan yang ingin anda sasarkan? (Umur, jantina, status, taraf hidup, pendapatan, sikap, geografi, gaya hidup)

4. Apakah teks, atau gambaran objek (simbol) yang anda mahu?

Tip: Teks atau gambar yang ingin digunakan perlulah mempunyai kaitan dengan logo yang ingin direka.

  • Apakah teks, ayat promosi, atau motto yang ingin anda sampaikan melalui logo?
  • Apa objek/imej/simbol/gambar yang anda rasakan sesuai?

5. Nyatakan spesifikasi yang anda mahu.

  • Bagaimana saiz logo yang anda mahu.
  • Di mana logo ini akan digunakan? (Laman web, kad bisnes, alat tulis, papan iklan dll)
  • Sebagai spesifikasi tambahan, adakah apa-apa maklumat yang patut diketahui oleh pereka logo anda?

6. Adakah anda punya apa-apa idea lain?

Anda seeloknya dapat menyediakan apa saja maklumat atau contoh logo yang anda rasakan efektif, biarpun contoh dari pesaing anda sendiri. Sekurang-kurangnya, hal ini boleh dijadikan asas dalam merekacipta logo anda.

Nyatakan juga apa-apa maklumat yang anda rasakan pereka logo tak sepatutnya lakukan, seperti menggunakan stail, warna, simbol, jenis font yang anda benci. Ia juga dapat mengelakkan pereka logo tersilap, atau tidak menepati kehendak anda, dan pasaran.

7. Berapa kos upah yang anda mampu?

Menyediakan nilai bajet yang anda mampu, adalah bertujuan mengelakkan pereka logo membuang masa berharga ketika sedang cuba mencapai bajet yang maksima. Secara tak langsung, pereka logo juga akan sedar sejauh manakah sesebuah projek itu berbaloi untuk diselesaikan. Tapi, pastikan juga harga kemampuan itu setimpal dengan tempoh yang anda berikan pada pereka logo.

8. Berapa lamakah tempoh logo disiapkan?

Jelaskan jadual masa yang terperinci, serta setkan tarikh akhir yang relevan dan realistik bagi pereka logo menyelesaikan projek anda.

Kerja yang terburu-buru tidak memberi sebarang faedah kepada sesiapa. Malah akan mendatangkan banyak kesilapan jika tugas itu sedikit kompleks. Masa untuk berbincang, mengkritik, dan sesi pembetulan amat penting. TAPI, kalau betul-betul terdesak inginkan cepat, jangan segan untuk nyatakan awal-awal, agar pereka logo dapat menyiapkannya sebaik dan secepat mungkin. Ingat, pereka logo anda juga seorang manusia biasa, bukannya robot. Huhu.

p/s: Sekian saja untuk kali ini. Jika ingin melihat contoh borang IRB yang saya gunakan, bolehlah memuat turun di sini.

PENAFIAN: Istilah Ikhtisar Reka Bentuk, atau IRB, tidak terdapat dalam mana-mana sumber ilmiah yang lain. Ia adalah istilah yang direka dan dicipta sendiri oleh Irfan Jani, memandangkan tiada istilah lain yang mewakili perkataan design brief dalam bahasa Melayu.

Borang Ikhtisar Reka Bentuk (IrfanJani.com)

Tags: , , , , , · 3 comments · Leave a response »

3 Responses to “Ikhtisar Reka Bentuk”

  1. Comment by Hasbullah Pit · February 28, 2009 @ 10:54 am

    Saya sokong pembentukan istilah di luar DBP, asalkan maksudnya bertepatan.

  2. Comment by Eriyza · March 7, 2009 @ 9:28 am

    Wah, susah jugak nak bikin logo erkkk. Banyak benda kena amik kira, kalo dpt customer byk songeh, mau tensen gak. :)

  3. Comment by Robotys · December 20, 2009 @ 5:00 am

    Hoh, baru kutahu rupanya Tuan Irfan juga seorang designer! Patutlah kita boleh ‘click’ :)

    Saya setuju malah suka usaha tuan menerangkan proses mencipta logo ini. Mengajar pelanggan adalah lebih menguntungkan daripada berselisih dengan mereka.

    @Eriyza: Customer yang banyak songeh biasanya tidak ada hala tuju kerana tidak cukup informasi. Maka hantar mereka ke artikel ini. Terus sahaja mereka tidak songeh jadinya nanti. :)

Leave a Reply